Pages

Sunday, August 23, 2009

Sensei Tuition Class

Subjek: Gerko Permainan Bola Jaring
Kod : WAJ 3104
Tajuk : Sejarah Permainan Bola Jaring


SEJARAH BOLA JARING

1.1 PENGENALAN

Sebagai seorang bakal jurulatih yang bakal mengajar di sekolah rendah, seorang guru sepatutnya mengetahui serba sedikit tentang asal-usul dan sejarah permainan bola jaring yang bakal diajar dan dipimpin. Malah, seorang guru juga harus tahu bagaimana permainan ini dikembangkan sebagai permainan antarabangsa untuk wanita.

1.2 ASAL-USUL BOLA JARING

Menurut Helen Ten (1994) dalam bukunya Siri Pengajaran Sukan Panduan Mengajar Bola Jaring; bola jaring bukanlah nama asal bagi permainan ini. Nama bola jaring bolah dikatakan berasal daripada permainan bola keranjang. Bola keranjang dicipta di Amerika Syarikat pada tahun 1891 oleh Dr. James Naismith. Permainan ini diperkenalkan di England pada tahun 1895 oleh Dr. Isles dari Amerika Syarikat semasa beliau melawat sebuah maktab pendidikan jasmani iaitu Madame Bergman Osterberg’s Physical Training Collage di Hampstead, London. Beliau mengajar permainan ini kepada pelajar-pelajar maktab tersebut. Di Hampstead, permainan ini dimainkan di gimnasium dengan menggunakan dua buah bakul sampah yang digantung di hujung dinding sebagai gold an dinding-dinding gimnasium dijadikan sebagai garisannya, jadi bola tidak pernah keluar dari kawasan permainan.

Nama permainan ini dipanggil basketball kerana gelang gol (goal rings) adalah bakul. Hal ini bermaksud, pengadil dikehendaki memanjat tangga untuk mendapatkan kembali bola itu selepas setiap jaringan.

Di Amerika Syarikat pada ketika itu terdapat tiga set peraturan iaitu:

1.2.1 Peraturan-peraturan rasmi untuk pemain-pemain lelaki

1.2.2 Peraturan-peraturan Inter-Collegiate (juga dimainkan oleh pemain-

pemain lelaki, dan

1.2.3 Peraturan-peraturan Splading untuk pemain-pemain wanita

Pada tahun 1897, seorang wanita warganegara Amerika Syarikat memperkenalkan permainan terbaru seperti yang dimainkan oleh kaum wanita di Amerika Syarikat kepada pelajar-pelajar di Maktab Madame Bergman. Gelang-gelang digunakan untuk menggantikan bakul, dan tempat bermain dibahagikan kepada tiga kawasan. Gelanggang dan bola yang lebih besar digunakan.

Pada tahun 1898 beberapa perubahan dibuat untuk permainan basketball dan ini mewujudkan perubahan dalam asal-usul permainan bola jaring. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Bilangan pemain ditambah kepada sembilan orang

2. Saiz bola dikecilkan kepada saiz 5 bola Persatuan Bola Sepak

3. Gelanggang dibahagikan kepada tiga kawasan

4. Gelang-gelang gol dikecilkan dari 4.5 cm kepada 3.75 cm

5. Tiang gol ditinggikan kepada 3 meter

6. Skor:

a. Satu mata jika gol dijaringkan daripada gelanggang/kawasan pertama atau daripada hantaran percuma

b. Dua mata jika jaringan dilakukan daripada kawasan tengah

Nama permainan ditukar kepada bola jaring kerana bakul telah digantikan dengan gelang dan jaring. Tetapi terdapat banyak negara seperti Australia, New Zealand, India dan Fiji mengekalkan nama basketball dan tidak menukarkan namanya sehingga selepas beberapa tahun.

1.3 PERKEMBANGAN BOLA JARING

Apabila permainan bola jaring semakin popular di England, persatuan The All England Women’s Netball Association (AENA) telah ditubuhkan pada tahun 1926. pda tahun 1938 satu perlawanan pertunjukan diadakan di Glasgow, Scotland di antara pasukan-pasukan daripada England dan Scotland. Ini boleh dikatakan perlawanan antarabangsa yang pertama.

Apabila permainan bola jaring telah ditetapkan sebagai permainan wanita di England, bola jaring terus diperkenalkan kepada Negara-negara Komanwel. Pada masa ini terdapat empat set peraturan-peraturan permainan-satu set digunakan di England, United Kingdom, Ceylon, West Indies, India dan Afrika. Set yang kedua digunakan di Australia, ketiga digunakan di New Zealand dan set yang keempat digunakan di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Women’s Basketball. Pada tahun 1957 selepas satu persidangan di London, peraturan-peraturan yang berbeza telah disemak semula. Pada tahun 1960 Persatuan Bola Jaring Ceylon menjadi tuan rumah untuk satu persidangan wakil-wakil daripada negara-negara Komanwel di mana Persatuan Antarabangsa Bola Jaring ditubuhkan dan peratuean-peraturan bola jaring antarabangsa telah dibuat. Pertubuhan Sedunia ini dilahirkan pada tahun 1960 dan dinamakan The International Federation of Netball Association (IFNA).

Kejohanan antarabangsa pertama daripada The International Federation of Women’s Basketball and Netball Associations diadakan pada tahun 1963 di Chelsea Collage of Physical Education, Eastbourne, England di mana 11 buah Negara iaitu England (tuan rumah), Ireland Utara, Scotland dan Wales (pasukan-pasukan United Kingdom), Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Jamaica, Trininad, the West Indies dan Ceylon mengambil bahagian. Kejohanan ini adalah untuk mengenal pasti negara yang termahir dalam permainan bola jaring.

Kejohanan yang dipanggil World Championship ini adalah kejohanan luar biasa. Tidak ada pingat mahupun trofi yang dimenangi sebaliknya hanya nama Champion Country sahaja dianugerahkan kepada pemenang. Malah, tidak ada juga demonstrasi tentang pengadil-pengadil, seperti yang biasa dilakukan dalam sukan lain. Semua pasukan bermain menggunakan peraturan yang sama seperti yang telah ditetapkan. Walaupun ada perbezaan dalam interpretasi peraturan-peraturan, pengadil-pengadil dan pemain-pemain bersetuju kepada interpretasi seragam. Pengalaman-pengalaman yang didapati melalui duduk dan bermain bersama-sama, berbincang mengenai peraturan-peraturan, memimpin dan bertukar-tukar fikiran dan masalah serta meraikan satu sama lain menjadikan kejohanan ini sangat menyeronokkan dan berfaedah kepada semua yang terlibat.

Negara termahir Champion Country dimenangi oleh Australia, dengan New Zealand mendapat tempat kedua manakala England pula menduduki tempat ketiga dalam kejohanan ini. Kejohanan ini diadakan setiap 4 tahun sekali semenjak tahun 1963, seperti di bawah:

Tahun

Tempat

Johan

1963

England

Australia

1967

Australia

New Zealand

1971

Jamaica

Australia

1975

New Zealand

Australia

1979

Trinidad

Australia, New Zealand, dan Trinidad-Tobago menjadi Johan Bersama

1983

Singapura

Australia

1987

Scotland

New Zealand

1991

Australia

Australia

Kejohanan pada tahun 1995 akan diadakan di England.

1.4 PERSATUAN BOLA JARING MALAYSIA (PBJM)

1.4.1 PENGENALAN

Permainan Bola Jaring diperkenalkan di sekolah-sekolah bahasa Inggeris (English medium schools) oleh guru-guru dagang (expatriate teachers) dan mubaligh-mubaligh pada awalan tahun1900. Permainan bola jaring menjadi amat popular sehingga ia dengan cepatnya dimainkan di kebanyakan sekolah perempuan di tanah air kita.

Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang ditubuhkan selepas Merdeka, bertanggungjawab dalam mempromosikan bola jaring di negara ini. Setiausaha Agong MSSM pada masa itu, En. Toh Boon Hua menugaskan Puan The Gin Sooi, Pengerusi Teknikal Bola Jaring MSSM untuk membantu memajukan permainan bola jaring dengan baik. Beberapa kursus Kejurulatihan dan Pengadilan untuk guru-guru telah diadakan bagi memajukan permainan bola jaring.

Persatuan Bola Jaring Selangor yang diketuai oleh Puan The Gin Sooi sebagai Presiden, Puan Prima C.Fong sebagai Timbalan Presiden, Puan Oi Loh Kah sebagai Setiausaha Kehormat dan Cik Maridah bt. Mohd. Yusof sebagai Bendahari Kehormat, telah berusaha menerbitkan sebuah buku undang-undang bola jaring yang pertama di Malaysia pada tahun 1972. Buku ini diterbitkan dalam dwibahasa berdasarkan undang-undang bola jaring pada tahun 1971-1975.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menggalakkan pertubuhan badan nasional supaya terlibat dalam permainan bola jaring. Oleh kerana persatuan bola jaring akan bekerja rapat dengan KKBS adalah lebih sesuai jika presiden untuk Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) terdiri daripada pegawai wanita dari KKBS. Persatuan Bola Jaring Malaysia ditubuhkan pada 21 Mac 1978 di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan binti Tengku Muhammad.

Hajjah Norminshah bt. Sabirin dilantik menjadi Presiden pertama persatuan. Puan The Gin Sooi menjadi Timbalan Presiden, Cik Chung Tsu Tuan, Setiausaha Kehormat dan Cik Ainon Kuntom, Bendahari Kehormat.

PBJM mempunyai 14 anggota negeri dan tiga anggota bukan negeri. Empat belas cabang negeri adalah terdiri daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, dan Sabah. Cabang bukan negeri pula adalah terdiri daripada Majlis Sukan Tenaga Nasional Berhad, Majlis Sukan Tentera Di Raja (The Royal Malaysian Armed Forces Sports Council) dan Majlis Sukan Polis Di Raja (The Royal Malaysian Police Sports Council).

Disamping itu juga, PBJM telah menjadi Majlis Olimpik Malaysia sejak tahun 1980 dan ahli kepada International Federation of Netball Association (IFNA) sejak 1982. Selepas penubuhan PBJM pada 1978, ia telah mengelolakan Kejohanan Bola Jaring Peringkat Kebangsaan pada tahun 1979. Kejohanan ini adalah untuk ahli-ahli persatuan sahaja dan digunakan sebagai salah satu sumber untuk memilih pemain-pemain yang berbakat mewakili pasukan negara.

Pada tahun 1981, Kejohanan Antara Kelab-Kelab dikelolakan di mana kumpulan-kumpulan yang mengandungi 12 orang pemain akan bertanding dalam peringkat daerah, kemudian di peringkat negeri dan akhir sekali di peringkat kebangsaan. Pada tahun 1984, Kejohanan Kebangsaan Bola Jaring di bawah umur 21 tahun telah dielolakan oleh PBJM dengan tujuan untuk menggalakkan pemain-pemain muda menyertai permainan bola jaring.

PBJM telah menyertai Kejohanan-kejohanan Antarabangsa seperti berikut:

Tahun

Kejohanan

Tempat

Johan

1983

6th World Netball Championships

Singapura

Australia

1985

1st Asean Netball Championships

Kuala Lumpur

Malaysia

1987

7th World Netball

Championships

Glasgow, Scotland

New Zealand

1988

1st World Youth Championships

Canberra, Australia

Australia

1990

2nd Asean Netball Championships

New Delhi, India

Sri Lanka

1991

8th World Netball

Championships

Sydney, Australia

Australia

Melalui aktiviti-aktiviti yang dikelolakan oleh PBJM, permainan bola jaring telah mendapat pengakuan dalam arena sukan tanah air. Bola jaring juga merupakan salah satu permainan yang dipertandingkan dalam Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun 1988. Malah, PBJM sekarang mempunyai setiausaha eksekutif sepenuh masa iaitu Hajjah Mazidah bt Hj Musa.


Bibbliografi

  1. Fouzee H.A, (1989). Pendekatan Pengajaran Pendidikan Jasmani, Bola Jaring. Kuala Lumpur. Penerbitan Siri Maju Sdn. Bhd.
  2. Helen Ten. (1994); Siri Pengajaran Sukan Panduan Mengajar Bola Jaring. Kuala Lumpur. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Disediakan oleh:
Sara_wo Sensei
PISMP Pendidikan Seni Visual/Pj/Bm Sem2 Ambilan Jan 09'

0 comments: